THE BEST WAY TO MAKE MONEY

Hotforex Pamm

Broker

Wednesday, May 14, 2008

Aspek-Aspek Kajian Sajak

1. Bentuk.
2. Maksud.
3. Persoalan.
4. Tema.
5. Corak.
6. Aliran.
7. Nada.
8. Gaya Bahasa.
9. Memprosa.
10. Perutusan.

1. Bentuk sajak itu merujuk kepada luaran atau fizikal sajak sebelum menyelami kandungan sajak itu. Perkara yang diberi perhatian dalam menganalisis bentuk sajak ialah rangkap, baris, suku kata dan rima.

Ketika menganalisis dari segi rangkap, pelajar perlu menyatakan berapa jumlah rangkap bagi sesebuah sajak itu.

Dari segi baris pula, pelajar perlu menyatakan jumlah baris dalam satu rangkap beserta namanya. Antara nama-nama bagi jumlah baris adalah seperti berikut:
Monoton – Satu baris.
Distikon – Dua baris.
Terzina – Tiga baris.
Quatrain – Empat baris.
Quint – Lima baris.
Sekstet – Enam baris.
Septaim – Tujuh baris.
Oktaf – Sepuluh baris.
Soneta – Empat belas baris (Dua rangkap dengan empat baris, dua rangkap lagi dengan tiga baris).

Manakala bagi suku kata, pelajar perlu menyatakan suku kata yang paling pendek dan yang paling panjang bagi sesebuah sajak itu. Pelajar hendaklah mengira suku kata bagi setiap baris terlebih dahulu bagi mengenal pasti suku kata mana yang paling pendek dan yang paling panjang.

Rima sebenarnya ada banyak bahagian seperti rima akhir, rima awal, rima tengah, rima berpeluk, rima bersilang, rima dalam, rima ganda, rima kembar, rima sempurna dan rima sumbing. Tetapi bagi pelajar di sekolah menengah, mereka hanya didedahkan untuk mengenal pasti rima akhir. Rima akhir merujuk kepada huruf terakhir bagi setiap baris dalam setiap rangkap. Kemudian dinyatakan menggunakan format a/b/c/d/e.

Setelah aspek-aspek di atas ini dikenal pasti, kemudian pelajar perlu menentukan sama ada sajak itu terikat dengan kepada pantun atau syair atau bebas.

2. Maksud Dalam usaha memberi maksud, kita mempunyai kebebasan mengikut kefahaman masing-masing. Satu rangkap hendaklah dihurai dalam satu perenggan dengan huraian yang jelas dan terperinci. Setiap ayat, baris, simbolik dan sebagainya perlu diberi makna sebenarnya. Dengan perkataan lain, kita sebenarnya cuba menyampaikan sesuatu mesej dalam bentuk huraian biasa yang dipindahkan daripada satu sajak. Kadang-kadang penulis sajak itu juga perlu diketahui latar belakangnya untuk menyokong kefahaman pembaca.

3. Persoalan - Sesebuah sajak selalunya mempunyai satu atau beberapa persoalan yang cuba diketengahkan oleh penulisnya. Biasanya satu rangkap mengandungi satu persoalan. Jika sajak itu mempunyai tiga rangkap, boleh jadi ia mempunyai tiga persoalan. Selalunya antara persoalan yang diketengahkan oleh penyajak adalah seperti kemiskinan, rasuah, kebebasan, sosial, cinta, ketuhanan, pelajaran, perperangan dan sebagainya. Untuk mendapatkan persoalan, langkah awal yang perlu dilakukan ialah memberikan maksud keseluruhan sajak.

4. Tema diperolehi melalui huraian maksud dan persoalan-persoalan yang terdapat dalam sajak itu. Dalam hal ini, persoalan yang paling penting boleh disimpulkan menjadi sebuah tema.

5. Corak sesebuah sajak dapat dikenal pasti setelah kita benar-benar membaca dan memahami maksud, persoalan dan tema sajak itu. Ia juga boleh dihubungkan dengan perutusan atau motif sajak itu ditulis. Dalam perkataan lain, corak itu dikenal pasti dengan menghubungkan tema dengan teknik penulisan yang digunakan. Antara corak yang selalu digunakan adalah seperti berikut:

Satira – Penulis menyampaikan tema dengan menulis sajak dalam bentuk sindiran, ejekan dan cemuhan.
Ode – Penulis menyampaikan tema dengan menulis sajak berupa sanjungan, memuja serta mengangkat sesuatu yang dibanggakan seperti pahlawan, negara, bangsa dan sebagainya.
Epigram – Penulis menyampaikan tema dengan menulis sajak berupa pengajaran. Sajak itu padat dengan mengangkat mesej berupa nasihat, pengajaran dan didaktik moral.
Elegi – Penulis menyampaikan tema dengan menulis sajak yang meratap, hiba, pilu, duka, sedih, rindu, keluh-kesah, kesal, hampa dan kecewa terhadap sesuatu peristiwa.
Himne – Penulis menyampaikan tema dengan menulis sajak berupa pujian yang penuh semangat.

5. Aliran merujuk kepada seluruh idea yang disampaikan. Idea itu dihubungkan dengan aliran pemikiran penyajak. Antara aliran yang selalu digunakan adalah seperti berikut:

Realisme – Aliran ini memberi penekanan kepada suatu hasil sastera yang mengungkapkan kehidupan secara benar seperti yang dapat dilihat di alam biasa atau kehidupan seharian.
Simbolisme – Aliran ini cuba mengungkapkan kata-kata biasa tetapi memberi makna yang berbeza. Makna itu mungkin selapis atau lebih sehingga memerlukan pemikiran yang kritis untuk mencari makna sebenar.
Humanisme – Aliran ini memberi perhatian langsung tentang kehidupan manusia sejagat. Aliran ini biasanya memberi tempat kepada gejala manusia yang tertindas atau kelas bawahan. Mereka cuba diangkat atau diperjuangkan ke tingkat kemanusiaan yang sewajarnya.
Naturalisme – Aliran ini lahir dari cabang realisme dan bercabang dengan romantisme. Ia melihat segala kejadian di dunia ini lebih natural atau semula jadi.
Didaktisme – Aliran ini merujuk kepada maksud untuk mendidik atau memberi panduan soal moral, etika, keagamaan kepada masyarakat pembacanya. Dalam sajak terdapat unsur mengajar, membimbing, memberi nasihat dan mengajak kepada kebaikan.
Idealisme – Aliran ini lahir daripada teori, fahaman atau amalan dalam penulisan termasuk sajak yang menilai sesuatu dari segi kesempurnaannya walaupun mungkin ia tidak wujud atau tidak dapat dicapai dalam alam nyata.

7. Nada kuat hubungannya dengan perasaan tinggi rendah dan kuat lemahnya sesuatu mesej yang disampaikan dalam sajak. Ia dikaitkan dengan sikap atau semangat penyajak ketika mengungkapkan isi dalam sajaknya. Antara nada yang selalu digunakan adalah seperti berikut:

Protes – Nada ini merupakan satu nada yang keras dan menampilkan penentangan terhadap sesuatu yang berlaku sama ada secara terang atau berselindung. Ia memperlihatkan bagaimana ungkapan-ungkapan yang tidak bersetuju dengan sesuatu peristiwa yang berlaku sama ada yang terdapat dalam diri, pengalaman atau pemerhatian penyajak.
Kecewa dan hampa – Nada ini biasanya terdapat dalam sajak yang memperlihatkan perasaan putus asa dan hilang harapan. Diksi yang dipilih bernada rendah dan lembut bagi mengimbangi emosi kecewa atau hampa itu.
Semangat dan harapan – Nada ini mengambil diksi yang keras di samping menggambarkan cita-cita yang kuat untuk memperjuangkan fenomena sosial yang berlaku. Sajak yang bersemangat sekali gus membawa harapan.
Simpati – Nada ini memperlihatkan sikap penyajak yang bebas terhadap sesuatu kejadian atau kehidupan. Isi sajak seolah-olah mengajak pembaca sama-sama menaruh kasihan terhadap kejadian yang dimaksudkan oleh penyajak.
Sinis – Nada ini mengandungi unsur-unsur sindiran yang tajam terhadap sesuatu kejadian yang berlaku. Ia ditujukan kepada sesuatu pihak dan memperlihatkan sikap penyajak yang tidak puas hati terhadap sesuatu kejadian yang diungkapkannya itu.
Romantis – Nada ini lahir dari jiwa yang mahu lepas dari alam kenyataan kepada alam fantasi atau khayalan. Sajak demikian terasa mendayu-dayu dan lembut menusuk perasaan pembacanya.

8. Gaya Bahasa merujuk kepada bahasa yang digunakan oleh penyajak dalam sajaknya. Antara aspek-aspek yang perlu diperhatikan ialah diksi, frasa, unsur perbandingan dan unsur pengulangan.
Kata asing – Dalam sesebuah sajak itu ia menggunakan kata-kata asing bagi memberikan kesan dan gambaran sebenar sajak yang mereka hasilkan. Kadang-kadang kata-kata asing yang digunakan ialah bahasa Inggeris, bahasa Arab, bahasa Indonesia dan sebagainya.
Singkatan (Sinkop) – Ini merujuk kepada perkataan-perkataan yang sengaja disingkatkan oleh penyajak supaya lebih ekonomis. Contohnya mentari (daripada matahari), pepohon (daripada pohon-pohon) dan sebagainya.
Gandaan – Merupakan kata-kata berganda. Penyajak sengaja memilihnya untuk memberi penekanan terhadap mesejnya.
Simbol – Biasanya merujuk kepada kata-kata yang dipilih memberi erti yang lain di sebaliknya. Simbol juga disebut lambang. Seperti merah untuk berani, bahaya dan sebagainya.
Personifikasi – Memberikan kiasan kepada sifat-sifat manusia sama ada dari segi perasaan, perwatakan mahupun tindak-tanduk objek yang mati atau binatang, idea atau benda-benda yang abstrak. Ia memanusiakan perkara-perkara yang bukan manusia atau menjadikan sesuatu yang bukan manusia bertindak sebagai manusia.
Paradoks – Merupakan frasa dalam baris-baris sajak yang menggambarkan ciri-ciri yang berlawanan khususnya dari segi maksud. Seperti siang malam, desa kota, ibu bapa, rebah bangun.
Simile – Merupakan kiasan yang memperlihatkan perbandingan dua objek yang mempunyai sifat dan nilai yang sama. Selalunya ia akan menggunakan perkataan seperti bagai, sebagai, serupa, semacam, macam, laksana, umpama, ibarat dan sebagainya.
Metafora – Juga kiasan tetapi perbandingan yang sempurna tetapi kurang langsung. Ia semacam penggunaan simbol dan simile. Untuk memudahkan, ia seperti simile tetapi tidak menggunakan bagai, seperti, umpama, ibarat dan sebagainya.
Pengulangan – Juga disebut sebagai repitasi. Pengulangan boleh jadi dalam bentuk perkataan, frasa, baris dan suku kata. Pengulangan itu dibuat sebanyak tiga kali atau lebih.
Asonansi – Ia merupakan pengulangan bunyi vokal dalam baris sajak sebanyak dua kali atau lebih secara berurutan.
Anafora – Pengulangan kata-kata pada setiap awal baris dalam satu rangkap sebanyak tiga kali atau lebih.

9. Memprosa puisi berbeza dengan mentafsirkan atau memberi maksud. Ganti nama diri perlu dikekalkan (tidak boleh ditukar). Contohnya jika penyajak menggunakan perkataan aku, kau dan kami, maka perkataan tersebut perlu dikekalkan. Begitu juga dengan ganti nama tempat. Tugas memprosa hanyamengubahkan bahasa puisi kepada bahasa prosa karangan biasa.

10. Perutusan juga dikenali sebagai pengajaran. Selepas mentafsir maksud sajak, pembaca perlu mencari apakah pengajaran di sebalik sajak itu dibuat. Perutusan sajak itu boleh diambil melalui sajak sama ada yang bersifat langsung atau tidak langsung.

No comments:

Post a Comment